Thursday, May 31, 2012

ACARA DI ZONE 3


Salah seorang peserta menerima cenderahati disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.

Persembahan pembacaan Al-Quran sebelum penyampaian cenderahati.


BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei - Seramai 19 peserta telah terpilih ke Peringkat Akhir Kebangsaan Pertandingan Menghafaz al-Quran Berserta Pemahamannya bagi Tahun 1433H setelah melalui peringkat separuh akhir yang dipertandingkan mengikut kategori masing-masing, 

Pertandingan yang berlangsung di Dewan Kuliah, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama itu dihadiri oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam, DCP Awang Bahrin Mohd Noor selaku tetamu kehormat majlis.

Pertandingan separuh akhir kali ini menyaksikan 41 peserta berentap dalam empat kategori, dan dari jumlah itu, enam peserta kategori A, tiga peserta kategori B, enam peserta kategori C dan empat peserta kategori D telah berjaya ke peringkat akhir, yang akan diumumkan tarikhnya kemudian.

Keputusan pemenang peringkat ini telah diumumkan oleh Pengerusi Jemaah Hakim Pertandingan, Awang Mohamad Hashim Haji Abdullah,

Sebelum pertandingan dimulakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pertandingan Menghafaz al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1433H, Pengiran Haji Haslin Pengiran Haji Ali berucap tahun ini seramai 134 peserta telah mendaftar untuk mengikuti pertandingan.

Menurut beliau bilangan penyertaan telah meningkat berbanding pada tahun lepas, walau bagaimanapun bukan kuantiti atau bilangan sahaja sebagai ukuran akan keberkesanan pertandingan ini tetapi kualiti hafalan juga dititik beratkan.

Pertandingan ini merupakan projek tahunan Kementerian Hal Ehwal Ugama dikendalikan oleh Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS.

"Antara tujuan pertandingan diadakan adalah bagi menggalakkan umat Islam di negara ini terutamanya kanak-kanak, murid-murid dan remaja untuk berjinak-jinak mencintai Al-Quran melalui hafazan dan menjadikan budaya membaca Al-Quran sebagai satu rutin dan amalan harian," tambah Pengiran Haji Haslin.

Majlis diakhiri dengan persembahan pembacaan Al-Quran dan penyampaian cenderahati kepada para peserta yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.

No comments:

Post a Comment